Seorang pemandu lori treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam nahas, pagi semalam.
Kemalangan berlaku di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, ketika pemandu berkenaan Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.
Lori treler itu dipercayai terbabas selepas satu daripada tayar depan sebelah kanannya pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
Nurame bersama kelindan yang belum dapat disahkan identitinya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Daerah Setiu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd Khairul Anuar Ahmad yang ditemui di tempat kemalangan, berkata pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya selepas satu daripada tayar pecah.
"Lori terbabit melanggar sebatang tiang eletrik berhampiran sebuah kilang batu-bata sebelum terbalik," katanya semalam.
Tiang eletrik yang tumbang itu pula menimpa sebuah kereta Perodua Kancil yang kebetulan diletakkan pemiliknya di depan kilang berkenaan.
Tinjauan di tempat kemalangan mendapati nahas mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam sebelum lori berkenaan dialihkan.
Syukurlah kerana masih selamat...
ReplyDelete