Thursday, May 17, 2012

Perusuh Boleh Dibuang Kerja - Presiden Cuepacs

Penjawat awam yang didapati terbabit dalam rusuhan ketika perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu, boleh dikenakan tindakan sehingga dibuang kerja.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata semalam, tindakan itu boleh diambil kerana penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) iaitu mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Menurutnya, jika mereka didapati terbabit dalam perhimpunan yang bertukar menjadi rusuhan itu, Cuepacs tidak akan membantu atau membela nasib mereka.

“Jika ada penjawat awam terbabit dalam Bersih 3.0 dan mereka dapat surat tunjuk sebab daripada ketua jabatan, Cuepacs tidak akan membantu atau membela mereka.

“Jika mereka gagal memberi jawapan jelas dan didapati bersalah, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberi amaran, diturunkan pangkat, digantung kerja dan jika kesalahan itu serius mereka juga boleh dibuang kerja,” katanya.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini Cuepacs tidak menerima aduan berhubung pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan itu.

No comments:

Post a Comment