Empat Serangai Penyerang Terengganu - Hadi, Ashaari, Kallang Tie & Forkey Doe jadi taruhan Mat Zan menentang Sime Darby di Selayang petang ini. |
Pengendali pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata khidmat pemain itu amat diperlukan bagi membolehkan Sang Penyu menjaringkan gol awal di tempat lawan serta mengekalkan corak permainan pada perlawanan penting itu nanti bagi meraih kemenangan secara agregat.
Bagi Sime Darby, hilang dua tonggak serangan, Patrick Ronaldinho dan Mohd. Irme Mat tidak mengganggu fokus jurulatihnya Ismail Zakaria dalam misi melakar sejarah menjadi kelab pertama mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Masih yakin dengan barisan pemain lain di bahagian serangan untuk menghasilkan gol, Ismail bersedia menggunakan senjata sulit jika perlu apabila berdepan juara bertahan Terengganu iaitu seorang pemain yang baru didaftarkan, Mohd. Yusof Zainal Abidin.
"Buat masa ini saya ada Razali Umar Kandasamy dan Mohd. Zamri Hassan di samping seorang lagi pemain yang baru saya daftarkan, Mohd. Yusof.
"Kelibat Yusof mungkin kurang dikenali oleh kebanyakan pasukan kerana dia masih belum diturunkan dalam mana-mana perlawanan.
"Dia baru sahaja berhenti kerja dari majikan lamanya tetapi dia memang merupakan seorang penyerang berpotensi.
"Jika keadaan memerlukan, saya akan menggunakan khidmatnya kerana dia merupakan pemain berpotensi besar walaupun sudah berusia 26 tahun, mungkin dia menjadi senjata sulit kami yang tidak diketahui lawan, " katanya yang ditemui selepas sesi latihan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Difahamkan, Yusof merupakan produk akademi bola sepak Johor dan pernah beraksi buat sementara dengan pasukan Johor dalam saingan Piala Presiden dan Liga Perdana pada 2004.
Baru sahaja disambar oleh Sime Darby, satu perkara yang menarik mengenai profil Yusof adalah dia merupakan peserta akhir rancangan realiti televisyen, Soccer Star satu masa dahulu.
Pada pertembungan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sime Darby mencatatkan keputusan sensasi apabila menewaskan Terengganu 2-1 melalui gol Ronaldinho dan Syukur Saidin.
Bagi Mat Zan pula, sumbangan setiap pemain amat penting namun sentuhan empat pemain ini diharap mampu menghasilkan gol awal seterusnya membawa Terengganu berada dalam keadaan yang lebih selesa bagi menyamakan agregat awal.
"Bagi saya pemain perlu tahu tugas masing-masing dan memikul tanggungjawabsebagai sebuah pasukan sebagaimana apa yang telah kita buktikan pada perlawanan Piala AFC menentang pasukan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe Ann minggulalu," katanya.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, skuad Penyu tumbang 1-2 di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby pada 20 April lepas.
Membawa kelebihan satu gol dari Kuala Terengganu, Ismail sedar skuad Penyu akan melakukan asakan menggila ke kubu Sime Darby sejak awal perlawanan lagi.
Namun, tegasnya tiada istilah permainan bertahan akan diterapkan untuk menghalang gawang daripada ditembusi lawan.
"Terengganu akan datang ke sini dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan selepas mendapat tekanan yang tinggi daripada pihak pengurusan dan peminat.
"Namun saya sudah ada strategi sendiri dan tidak semestinya saya perlu mengarahkan pemain saya bertahan setiap masa, apa yang penting semua pemain bermain sebagai satu unit.
"Apabila bertahan, mereka semua akan sama-sama bertahan, begitu juga apabila menyerang dan saya mahu pemain mengambil kesempatan melakukan serangan balas jika berpeluang, " katanya.
Ketua pasukan, Kamarul Afiq Kamaruddin mengakui rahsia kejayaan Sime Darby sehingga mampu mara sejauh ini adalah kerana kekuatan semangat berpasukan.
"Kami tiada pemain bintang tetapi mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya.
No comments:
Post a Comment