Friday, May 25, 2012

Terengganu Rancang Bina Pusat Rawatan Bersalin - MB

Kerajaan Terengganu Rancang Bina Hospital Bersalin Swasta Di Bandar Cukai Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan sebuah hospital bersalin di Bandar Cukai, di sini iaitu pusat rawatan bersalin pertama di Terengganu.

Ia akan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pusat itu kelak akan beroperasi secara swasta bagi memberi kemudahan kepada ibu yang ingin mendapatkan rawatan untuk bersalin.


Pada masa ini, katanya ramai ibu yang hendak bersalin mendapatkan rawatan di hospital swasta, misalnya di Kuantan, Pahang.

 "Apa salahnya kita wujudkan sebuah pusat bersalin swasta di sini agar memberi banyak pilihan selain daripada hospital kerajaan," katanya selepas merasmikan Pusat Hemodialisis National Kidney Foundation-Yayasan Buah Pinggang Kemaman (NKF-YBPK) di Kemaman, semalam.

Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM1 juta bagi pusat dialisis berkenaan.

Pusat NKF-YBPK itu bernilai RM1.5 juta, dilengkapi lima buah mesin mencuci buah pinggang yang mampu memberi rawatan kepada 30 pesakit setiap sehari.

Kewujudan pusat itu memberi makna yang besar bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, di samping mengurangkan bebanan kewangan mereka dan keluarga.

"Sebahagian besar pendapatan digunakan dan pesakit jatuh miskin. Malahan terdapat juga kes pesakit terpaksa menjual tanah untuk menampung kos rawatan yang tinggi dan kos perjalanan ulang alik ke hospital," ujarnya.

Kata beliau, pusat ini diwujudkan sebagai tambahan kepada kemudahan serupa di Hospital Kemaman (HK) yang tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

"Tetapi kawasan terhad di HK membataskan kita untuk menambah mesin yang diperlukan dan akhirnya kita buat keputusan untuk menggunakan bangunan terbengkalai di Teluk Mak Nik," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut.

No comments:

Post a Comment