Thursday, May 31, 2012

Tiga Warga Indonesia Dipenjara, Disebat Kerana Rompakan Bersenjata

Tiga warganegara Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata awal bulan ini.

Mawardi Dimak, 29, didakwa melakukan rompakan itu bersama Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut sekitar pukul 2 pagi, 8 Mei lepas.


Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap iaitu pada pukul 8 malam hari yang sama, di rumah kongsi ladang kelapa sawit Seri Alam, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Raja Besut.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh yang merupakan pekerja kontrak ladang berkenaan telah memecah masuk rumah pengadu, Shafie Mohamad, 46, dan meletakkan parang di leher mangsa dan isterinya serta mengugut akan membakar rumah sebelum melarikan barang kemas bersama wang tunai dianggarkan bernilai RM8,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment