Wednesday, May 16, 2012

Tokoh Akademik Thailand Kagumi Sistem Pendidikan Malaysia

Kecemerlangan sistem pendidikan yang dilihat berjaya meletakkan negara ini setaraf negara maju menjadi faktor kepada negara jiran Thailand untuk mencontohi sistem akademik Malaysia.

Dalam kunjungan selama dua hari ke Terengganu, delegasi 16 anggota dari Prince of Songkla University yang diketuai Ahli Lembaga Penasihat universiti itu, Chuan Leekpai turut melihat sendiri proses sistem pendidikan negara serta melawat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (Sester).


Chuan yang juga bekas Perdana Menteri Thailand menyatakan kekagumannya terhadap sistem pendidikan Malaysia yang terlalu pantas berkembang dengan melahirkan generasi muda kreatif serta mampu muncul sebagai kuasa baru pendidikan di Asia Tenggara.

"Saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi fokus utama terhadap bidang pendidikan di mana Thailand sangat terkebelakang dalam aspek (beberapa bidang) ini.

"Namun, ada juga beberapa bidang di mana Thailand mendahului Malaysia daripada segi kemajuan teknologinya iaitu bidang pertanian dan kesihatan," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat pendidikan di Sester di Kuala Terengganu, semalam.

Presiden universiti itu Profesor Dr Boonsom Siribumrangsukha bertindak sebagai penterjemah pada sidang media itu.

No comments:

Post a Comment