Thursday, May 3, 2012

Wakil Terengganu Turut Ikut Misi Penggalakan Pelaburan Ke AS

Satu misi penggalakkan pelaburan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Noharuddin Nordin, kini berada di Amerika Syarikat.

Misi itu, yang berlangsung sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Houston, Texas, turut dianggotai wakil kerajaan negeri Terengganu, Melaka, Johor dan Kedah, serta koridor ekonomi wilayah.


"Seminar penggalakkan pelaburan berlangsung hari ini di St. Louis, Missouri, dan delegasi itu akan berlepas ke Phoenix, Arizona, tempat berlangsungnya satu lagi yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mei.

"Misi itu, selain menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan ekonomi di Malaysia, mengetengahkan peluang-peluang pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan, dengan tumpuan khusus terhadap peluang-peluang dalam ekosistem minyak dan gas dan aeroangkasa," kata MIDA dalam satu kenyataan.

Ia berkata lebih 130 peserta, sebahagian besarnya dalam sektor peralatan minyak dan gas, kimia dan sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan minyak dan gas, menghadiri seminar yang berlangsung di Houston.

Antara syarikat utama yang hadiri terdiri daripada FMC Technologies, Halliburton, Baker Hughes dan Cameron. "Lebih 200 mesyuarat perniagaan berlangsung antara anggota delegasi Malaysia dan rakan sejawatan masing-masing.

"Antara projek pelaburan yang dibincangkan ialah bioethanol, pengeluaran kaca, peralatan minyak dan gas, logam medan minyak dan bekalan kimia, serta perkhidmatan minyak dan gas yang termasuk perkhidmatan pensijilan dan piawaian.

"Syarikat Malaysia yang menghadiri seminar itu juga berpeluang berbincang mengenai aturan agensi dengan penggiat utama minyak dan gas bagi memperoleh sokongan teknikal, peluang yang baik untuk pembangunan ekosistem minyak dan gas di Malaysia," kata MIDA.

No comments:

Post a Comment