Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan mengeksport pelbagai produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) negeri itu ke Brunei, yang sekaligus akan meningkatkan pendapatan usahawan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, jika tiada apa-apa halangan dan rintangan, langkah itu akan dilaksanakan mulai tahun ini.
Azmi berkata anak syarikat YPU, Cakna Sdn Bhd, akan menandatangani memorandum persefahaman dengan Brunei Industry National Autority (Bina Brunei) di dalam masa terdekat ini.
"Cakna Sdn Bhd akan memainkan peranan sebagai pembawa sama ada produk makanan atau minuman ke Brunei apabila perancangan itu dilaksanakan kelak," katanya.
Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi perdagangan antara Terengganu dan Brunei, wakil dari Brunei akan datang ke Terengganu untuk melihat sendiri produk yang akan dipasarkan di Brunei nanti, katanya.
Azmi berkata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera telah mengadakan perbincangan mengenai langkah itu semasa lawatannya di Brunei pada akhir bulan lepas.
Beliau berkata produk makanan dan minuman Terengganu seperti minuman roselle, keropok dan sebagainya nanti akan dijenamakan semula mengikut kehendak usahawan Brunei.
Menurutnya, kejayaan menembusi pasaran Brunei adalah kesan dari Terengganu Showcase 2012 sempena ekspo usahawan Terengganu-Sarawak di Miri, Sarawak pada 27 hingga 29 April lalu di mana pameran dan jualan produk IKS Terengganu yang mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat dan rakyat Brunei.
Berikutan itu, beliau berkata YPU juga bercadang mengembangkan rangkaian kedai serbaneka T-Shop ke Miri berikutan banyak permintaan diterima dari pengguna di sana.
Di Semenanjung Malaysia, T-Shop telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan lebih banyak rangkaian kedai itu akan diwujudkan sama ada di Terengganu atau negeri-negeri lain tahun ini.
No comments:
Post a Comment