Friday, June 29, 2012
45 Zoo Diberi 6 Bulan Naikkan Taraf Atau Tutup
Kesemua 45 pengendali zoo di seluruh negara dikehendaki mematuhi garis panduan penjagaan binatang sebelum Ogos tahun ini bagi mendapatkan lesen untuk beroperasi atau menghadapi tindakan termasuk menutup operasi zoo mereka.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pihak pengendali diberi penangguhan enam bulan untuk menaik taraf zoo mereka kepada standard yang ditetapkan sejak peraturan tersebut diwartakan Februari lepas.
"Semua 45 zoo di seluruh negara dikehendaki mematuhinya. Jabatan Hidupan Liar sudahpun mengaudit setiap zoo tersebut dan sudah dimaklumkan mengenai apa yang patut dilakukan.
Peraturan baru itu akan dikuatkuasa dan sebelum lesen dikeluarkan, pengendali perlu memenuhi peraturan itu.
"Kementerian sangat tegas mengenai keputusan ini (menguatkuasakan peraturan itu Ogos ini) bagi memastikan ia dipatuhi selaras dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar," katanya.
Uggah mengulas dakwaan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) bahawa sejumlah 44 buah zoo di seluruh negara gagal memenuhi standard operasi jagaan hidupan liar seperti terkandung dalam undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Kelmarin, Presiden SAM, S.M. Mohamed Idris berkata kajian selama enam bulan oleh pertubuhan itu mendapati pihak pengurusan zoo termasuk mini zoo dan taman burung tidak sensitif terhadap keperluan biologi hidupan liar di bawah jagaan mereka.
SAM menyebut kurangnya komitmen dan pengetahuan tentang binatang sebagai punca utama keadaan itu berlaku, mengakibatkan banyak binatang diserang penyakit yang dikenali sebagai 'zoochais' atau sakit mental kerana tertekan dalam kurungan.
Uggah bagaimanapun berkata dapatan yang diperoleh SAM itu hampir sama dengan laporan Jabatan Hidupan Liar yang mengaudit semua zoo di negara ini.
"Oleh yang demikian, sekiranya pihak pengendali zoo tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan itu, mereka tidak akan diberikan lesen," katanya.
Pada masa ini, sesebuah zoo tidak dikehendaki memiliki lesen dan ini telah menimbulkan pelbagai masalah.
Berikutan itu, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dipinda pada 2010 supaya mempunyai garis panduan mengenai layanan terhadap binatang dan pelesenan zoo merupakan komponen utama.
No comments:
Post a Comment