Sunday, June 17, 2012

Abdul Manaf, Hadi Sumbang Gol Tewaskan T-Team 3-0


Terengganu mungkin selesa dengan kemenangan 3-0 ke atas T-Team.

Penyerangnya Abdul Manaf Mamat (gambar atas) yang kembali cergas setelah direhatkan sementara selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali awal bulan lalu terbukti berbaloi.

Pemain yang berusia 25 tahun yang bertekad mahu memberikan aksi terbaik jika ketua jurulatih pasukan itu Peter Butler memberi peluang beraksi menentang pasukan T-Team, dikotakan dengan dua golnya.

Satu gol lagi dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya.


Namun, di sebalik kemenangan itu, misteri kehilangan penyerang berbisa mereka Francis Forkey Doe menjadi tanda tanya kepada semua pihak, termasuk penyokong Terengganu, apalagi kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler.

Pemain berusia 26 tahun dari Liberia itu, yang menjadi idola peminat skuad Penyu itu, masih belum pulang ke pangkuan pasukan selepas menggalas misi antarabangsa bersama pasukan negaranya.

Selain Forkey Doe yang 'hilang' tanpa berita, ketua pasukan Marzuki Yusof, Ashaari Shamsudin dan pemain import Erison Da Silva dari Brazil masih belum pulih daripada kecederaan.

Kegagalan Forkey Doe pulang ke Terengganu tanpa sebarang berita telah menimbulkan kebimbangan dan kekecewaan kepada Butler yang terpaksa berdepan dengan masalah tiga lagi pemain tonggak yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Beliau sepatutnya kembali pada 4 Jun lalu tetapi belum lagi...beliau juga tidak menghubungi saya atau pihak pengurusan untuk menjelaskan perkara sebenar," kata Butler kepada pemberita Khamis lalui.

 "Saya amat kecewa dengan kelakuannya...kita mahukan pemain yang komited dan dia tidak menunjukkan apa-apa komitmen kepada saya atau pasukan," jelasnya.

Bagaimanapun, Butler menegaskan bahawa pasukannya mempunyai pemain yang mampu merobek gawang lawan bagi mengumpul mata penuh pada aksi menentang pasukan yang berstatus kelab itu.

Jelasnya kedudukan itu tidak mencacatkan barisan penyerang apabila Abdul Manaf Mamat telah kembali untuk meneruskan pertarungan walaupun masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaan selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali, awal bulan lepas.

T-Team kehilangan kapten Zairo Anuar Zailani yang mengalami kecederaan pangkal paha serta penyerang Brazil, Marco Tulio, yang mengalami ketegangan otot betis.

No comments:

Post a Comment