Wednesday, June 27, 2012

Awas Terengganu - Insentif Bakar Semangat Atlet Selangor


Atlet daripada kontinjen Selangor yang berjaya memperolehi pingat emas pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang bakal berlangsung di gelanggang sukan Malaysia Pahang akan menerima insentif sebanyak RM3,500.

Bagi Atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan akan menerima insentif sebanyak RM2,000 dan RM4,000 akan diberikan kepada atlet yang berjaya mengatasi rekod kebangsaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor mempunyai rekod yang sangat baik dalam setiap kejohanan Sukma dan yakin dapat pungutan pingat yang lebih baik walaupun kontinjen kali ini menyasarkan 50 pingat emas.


“Lebih RM200,000 diperuntukkan sebagai persediaan kontinjen Selangor menghadapi Sukma, ini membuktikan Selangor bersedia membina atlet bukan sahaja sebagai pemain, malah sebagai wakil kepada rakyat Selangor.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet kerana terpilih untuk mewakili negeri dan berusahalah memastikan Selangor merampas kembali kejuaraan Sukma dari Terengganu,” katanya semasa majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen Negeri Selangor di Kompleks Belia Dan Kebudayaan, Seksyen 7.

Selangor akan menghantar 518 wakil yang terdiri daripada atlet, pengurus pasukan, jurulatih dan urusetia kontinjen bagi menyertai 24 acara sukan yang akan dipertandingkan.

Kontinjen Selangor akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan dibantu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Arif Abd Rahman selaku Timbalan Ketua Kontinjen.

Menurutnya, keinginan dan keghairahan yang memuncak untuk mencapai kejayaan harus ada di dalam diri setiap atlet yang mewakili Selangor di samping bergerak sebagai keluarga (berpasukan).

“Kejayaan kontinjen Selangor tidak wajar diukur daripada aspek individu sebaliknya menerusi semangat berpasukan yang jitu demi merealisasikan impian menjadi juara keseluruhan Sukma.

“Bawalah bendera Selangor dengan megah. Kita akan berjuang sedaya upaya demi kemenangan yang adil dan akan menerima kekalahan dengan usaha berlipat kali ganda untuk temasya akan datang,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment