Beginilah keadaan rumah yang dipercayai tidak mempunyai CF dan tidak dihuni sejak 10 tahun lalu di Taman Desa Salam, Kampung Limau Nipis, Marang. |
Seorang penduduk taman perumahan itu, Marzuki Mohd Yasoa, 33, berkata, sebanyak 500 unit rumah di kawasan perumahan di situ tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF). Bagaimanapun seramai 200 penduduk bertindak mendiami kediaman yang dibeli itu kerana bosan menunggu CF.
"Sebanyak 300 rumah yang tidak berpenghuni kini rosak dan dipenuhi semak-samun, keadaan itu menimbulkan kegelisahan penduduk yang khuatir dengan keselamatan nyawa serta harta benda.
“Saya telah tinggal di sini enam tahun lalu dan berharap pihak berwajib mengambil tindakan undang-undang untuk melucutkan hak pemilik pertama bagi membolehkan kediaman yang tidak berpenghuni itu didiami mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah," katanya ketika ditemui, kelmarin.
Selain itu, bapa kepada dua anak ini turut menyarankan agar pemilik rumah tersebut bertanggungjawab memberi kerjasama agar rumah yang mereka miliki itu tidak menjadi sarang penagih dadah dan penjenayah.
Sementara itu, seorang lagi penduduk ingin dikenal sebagai Awang berkata, penduduk taman perumahan itu sudah mencuba pelbagai cara untuk memperoleh CF dan menyelesaikan masalah rumah terbiar.
“Namun, segala usaha menemui jalan buntu kerana kami gagal menghubungi pemilik asal," katanya.
Dalam pada itu, seorang pemimpin setempat yang turut tinggal di kawasan perumahan berkenaan ketika ditemui enggan mengulas mengenai perkara itu namun mengakui keadaan rumah terbiar itu sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman penduduk
Hasil siasatan Sinar Harian mendapati projek Taman Desa Salam fasa pertama itu dibina pihak swasta pada 1999 semasa di bawah pentadbiran kerajaan Pas.
Malah difahamkan, Kerajaan Negeri pada dua tahun lalu telah meluluskan beberapa projek pembinaan kemudahan asas bagi keselesaan penduduk Taman Desa Salam yang terletak di Kampung Padang Limau Nipis itu dalam usaha menambahbaik taman perumahan berkenaan. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika itu tel
ah meluluskan pembinaan surau, menurap jalan di sekitar taman, pondok bas, tempat membuang sampah dan kemudahan lampu jalan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment