Sunday, June 10, 2012

Banyak Pusat Pelancongan Tidak Diselenggara

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen melahirkan rasa kesal dengan masalah pemantauan kerja penyelenggaraan di pusat pelancongan di seluruh negara ketika ini.

Berikutan masalah itu, kata beliau, banyak pusat pelancongan seumpamanya tidak boleh digunakan seperti diharapkan dalam usaha menarik kunjungan pelancong ke situ.


Jelasnya, masalah itu berlaku disebabkan ketiadaan 'budaya penyelenggaraan' yang efisien dalam melaksanakan kerja penambahbaikan pusat pelancongan walaupun mendapat peruntukan tambahan Kementerian Pelancongan.

"Saya dukacita kerana tidak ada pemantauan dalam melaksanakan kerja penyelenggaraan menyebabkan banyak pusat pelancongan tidak boleh digunakan.

"Justeru, ia perlu dikaji dengan mendalam, kalau nak tambah peruntukan kenalah kaji dulu apa kesannya. Kita dapati budaya penyelenggaraan tidak ada," katanya pada majlis taklimat sempena lawatan singkat ke Taman Panorama Bukit Pak Apil, di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw; Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh dan Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Projek MBKT, Husni Yahya.

Yen Yen menggesa pihak berkenaan agar memastikan setiap permohonan mendapatkan peruntukan tambahan daripada kementeriannya bagi tujuan penyelenggaraan benar-benar memberi manfaat sepenuhnya kepada pengunjung, khususnya pelancong.

No comments:

Post a Comment