Jentera serangan Terengganu yang dilihat tumpul harus diatasi segera sekiranya mahu mempamerkan aksi garang menjelang pertemuan saingan Liga Super berbaki sembilan perlawanan dengan pasukan 'adiknya' T-Team Jumaat ini.
Perlawanan tersebut akan bermula pada 8.45 malam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di mana akan beraksi perlawanan pembukaan tunggal setelah saingan Liga Super yang berhenti berehat selama tiga minggu kembali berlangsung.
Jurulatihnya, Peter James Butler berkata, beliau akan memperbaiki kelemahan itu namun tidak menolak kelemahan di barisan hadapan ini mungkin disebabkan ketiadaan penyerang lincah kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe.
"Doe dijangka akan kembali ke Terengganu untuk pertemuan menentang T-Team.
"Mungkin juga pemain-pemain ini prestasinya masih lembab setelah berehat agak panjang," katanya selepas tamat perlawanan persahabatan Siri Nusantara skuad Penyu menetang kelab Pro Duta FC Medan, Indonesia yang berkesudahan seri tanpa jaringan di sini malam kelmarin.
Frokey Doe direhatkan kerana pulang membantu negaranya untuk saingan kelayakan seterusnya Piala Dunia 2014 Zon Afrika.
Tambahan pula, bekas jurulatih Kelantan ini berkata Terengganu menurunkan pemain-pemain barisan hadapan yang baru pulih daripada kecederaan seperti Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias dan Reeshafiq Alwi.
"Mereka masih dalam pemulihan dan mungkin pergerakan mereka tidaklah mantap sepenuhnya lagi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Walau apapun Buttler menyifatkan perlawanan menentang kelab dari Medan adalah sebagai pemanas badan dan juga medan untuk menguji ketangkasan anak buahnya setelah sekian lama berehat di samping mempunyai perancangan tersendiri.
"Ketika kita bermain dengan Kelantan dalam cabaran Piala AFC tempoh hari, terutamanya pada babak kedua kita telah mengubah corak permainan menyebabkan kita memperoleh dua gol dalam tempoh beberapa minit walaupun akhirnya kalah (3-2).
"Jangan risau, saya sudah lama dalam bidang kejurulatihan dan saya memang tahu apa hendak dilakukan bagai mengatasi masalah itu nanti," katanya
No comments:
Post a Comment