Monday, June 11, 2012

Derita Adam Dapat Perhatian Kerajaan Terengganu




Penderitaan pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, mendapat perhatian Kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan sumbangan RM100,000 untuk membiayai pembedahan kanak-kanak tersebut yang dijadualkan pada 20 Jun nanti di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad di kediaman keluarga Adam, di Seksyen 7, semalam.

Yahya berkata, sumbangan tersebut adalah keprihatinan Kerajaan Terengganu kepada Adam yang ditimpa musibah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.


Kerajaan Terengganu tampil membantu Adam walaupun beliau bukanlah rakyat Terengganu. Adam adalah penerima pertama bantuan Tabung Darul Iman melibatkan bukan rakyat Terengganu.

“Keputusan pemberian sumbangan ini dibuat dalam mesyuarat Exco yang lalu yang meluluskan RM100,000 untuk diberikan kepada Adam bagi membiayai pembedahan beliau di luar negara,” katanya kepada media, selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Adam, semalam. Beliau berkata, bantuan kepada

Adam diberikan kerana Kerajaan Selangor tidak memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut, walaupun berita mengenai Adam telah disiarkan dalam akbar Sinar Harian, beberapa minggu sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada keluarga Adam kerana memberikan peluang kepada kami untuk menampung kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

Yahya berkata, Tabung Darul Iman diwujudkan untuk membantu rakyat Terengganu yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan sebagainya. “Kerajaan Negeri juga mensubsidi beberapa kos perubatan melibatkan pesakit kronik dan bil-bil rawatan rakyat yang berpendapatan rendah,” katanya.


 Sementara itu, bapa Adam, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, berkata, beliau sekeluarga berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu yang menyumbang RM100,000 untuk membiayai pembedahan anak sulungnya itu.

Pada mulanya, kos pembedahan adalah RM300,000 tetapi ia dikurangkan RM175,000.

“Bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan Terengganu mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai kos pembedahan Adam.

Jumlah terkumpul kini adalah RM182,500,” katanya.

Beliau berkata, dana RM82,500 disumbangkan oleh orang ramai, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan MCA setelah disiarkan di Sinar Harian dan media lain.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya terhadap pembedahan di luar negara,


Akbar berkata, setelah Adam menjalani pembedahan sebanyak dua kali di Singapura dan Kuala Lumpur, beliau yakin, pembedahan tersebut yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo akan berjaya.

“Alhamdulillah, berkat doa dan bantuan daripada orang ramai, anak saya akan menjalani pembedahan nanti. Sebanyak 90 hingga 95 peratus tumor Adam boleh dikeluarkan dan risiko untuk anak saya menjadi lumpuh adalah minima.

“Saya reda dan akur dengan kuasa ALLAH. Harapan saya semoga pembedahan tersebut berjaya dan selamat,” katanya.

Menurutnya, beliau akan ke sana bersama Adam dan isterinya, Siti Rogayah Sheikh Ismail, 34, pada 15 Jun nanti dan akan berada di sana selama tiga minggu.

“Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan kami dan pembedahan Adam berjaya dilakukan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment