Tuesday, June 12, 2012

Uptown United A Dari Terengganu Juara Siri ke 9

Pasukan Uptown United A dan CT Nur Nilam Jr meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menempah slot ke pusingan Grand Final.
Uptown United A dari Terengganu muncul juara siri kesembilan kategori bawah 16 tahun Karnival Futsal MILO Hidup Bola 2012 yang berlangsung di Pusat Futsal Kuantan di Bandar Indera Mahkota, Pahang hujung minggu lalu.

Mereka menewaskan CT Nur Nilam Jr dari Kuala Lumpur 3-2 pada perlawanan akhir yang menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi yang menarik dan menakjubkan.

Meskipun tewas, pasukan CT Nur Nilam tetap akan mengiringi Uptown United A ke pusingan Grand Final karnival ini yang dijadualkan berlangsung pada 16 September depan di Sports Planet Ampang, Selangor.

 Bagi kategori bawah 12 tahun pula, Akademi Kemaman 365 Jr menewaskan Akademi Bola Sepak Selatan Ulu Tiram menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat masa perlawanan sebenar.

Begitupun, kedua-dua pasukan mara ke pusingan Grand Final setelah menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas.

Pada saingan siri kesembilan itu, sebanyak 86 pasukan tampil menyahut cabaran dalam dua kategori yang di pertandingkan iaitu kategori bawah 12 dan 16 tahun.

Jumlah tersebut merupakan satu peningkatan berbanding hanya 79 pasukan yang mengambil bahagian pada edisi tahun lalu.

Karnival ini akan diadakan di setiap negeri mengandungi 14 siri dan akan diadakan pada setiap hujung minggu sehingga ke pusingan Grand Final. Sebanyak 32 pasukan terbaik dalam kedua-dua kategori daripada 14 siri ini akan berentap pada Grand Final nanti untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 kepada johan, RM10,000 untuk naib johan dan RM7,000 untuk tempat ketiga dan keempat.

Dua pasukan teratas daripada setiap siri layak secara automatik ke Grand Final.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment