Mungkin kerana harga kelapa sawit yang tinggi, seorang pemuda bertindak nekad mencuri 69 tandan kelapa sawit milik Felda Plantations Sdn Bhd di Felda Chador pada 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, tindakan licik pemuda itu tidak ke mana-mana apabila dia berjaya dicekup dan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
Tertuduh, Wan Abd Aziei Wan Abd Aziz, 29, yang berasal dari Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu itu berdepan dengan dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah mencuri 69 tandan buah kelapa sawit pada 5 Jun lalu, kira-kira jam 10 pagi di Felda Chador.
Dia didapati melakukan kesalahan mencuri dan boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 5 Jun lalu, kira-kira jam 1.05 tengah hari bertempat di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Marang, didapati telah gagal mengemukakan kad pengenalan semasa diperiksa oleh Inspektor Khairul Ridzuan Salleh.
Ia bertentangan dengan Peraturan 6 atau 7 Peraturan-Peraturan Negara 1990. Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan PU (A) 232/2001) dan boleh dihukum dibawah Peraturan 25(1) Peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda minimum RM3,000 dan denda maksimum RM20,000.
Tertuduh yang berbaju biru gelap, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Arrasyiddin Atcha.
Majistret Noradila kemudiannya menetapkan tarikh sebut semula pada 8 Julai ini di Mahkamah Majistret Marang dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment