Tuesday, June 19, 2012

Hariff Pertikai Keputusan PKBM Tidak Senarainya Ke Olimpik 2012

Pelumba lebuh raya negara, Mohd. Hariff Salleh mempertikaikan keputusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang tidak menyenaraikannya ke Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan.

Sebaliknya, PKBM memilih Amir Mustafa Rusli untuk menggalas tugas tersebut. Hariff yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pelumba berpotensi untuk mengiringi Muhamad Adiq Husainie Othman ke London mendakwa PKBM tidak menepati janji.

Hariff berkata, PKBM pernah menjanjikan satu slot untuk diisi pelumba yang berjaya menunjukkan aksi cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan dan Jelajah Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Hariff hairan mengapa PKBM memilih Amir Mustafa meskipun pelumba itu kurang menyerlah pada ke- tiga-tiga perlumbaan tersebut.

Ketika beraksi pada LTdL baru-baru ini, Hariff berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menjejakkan kaki ke podium dua dan tiga.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Pemilihan PKBM membuat keputusan memilih Amir Mustafa bagi menemani Adiq Hussainie untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik London berdasarkan prestasi dan kelebihan yang terdapat pada kedua- dua pelumba itu.

Menurut PKBM, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kedua-dua pelumba tersebut beraksi di Eropah sebelum ini kerana corak perlumbaan sejauh 250 kilometer di London nanti memerlukan pelumba yang mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan berupaya menghadapi pendakian yang sukar.

Hariff turut mempersoalkan tindakan PKBM yang seolah-olah menganaktirikan pelumba pasukan tempatan apabila memilih Amir Mustafa (Drapac Professional Cycling) yang berpangkalan di Australia.

"PKBM sepatutnya memberi keutamaan kepada pelumba daripada pasukan tempatan seperti Terengganu Cycling Team (TSG) yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment