Tuesday, June 19, 2012

SUKMA Pahang XV - Terengganu Sandarkan Kepada Basikal, Olahraga

Wan Nawawi...Ketua Kontinjen
Juara  Sukan Malaysia (SUKMA) tiga kali berturut-turut, Terengganu mengimpikan untuk terus mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada SUKMA 2012 yang dijadual berlangsung di Pahang, 7 hingga 15 Julai ini.

Terengganu yang membawa pulang 30 emas pada edisi tahun lalu di Kuala Lumpur, menyandarkan harapan kepada sukan berbasikal yang dijangka mampu menggondol lebih banyak pingat selain olahraga, pencak silat, angkat berat dan taekwondo.

“Kami turun sebagai juara bertahan dan akan berusaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan, itu sudah pasti,” kata Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu mengenai misi pasukannya  dihubungi, semalam.



Terengganu yang mula menunjukkan belang pada SUKMA 2008 di laman sendiri begitupun tidak akan menyertai satu daripada 24 jenis sukan dipertandingkan di Pahang iaitu wushu.

“Terengganu tidak mempunyai atlit dalam lapangan ini dan belum ada pembangunan khusus untuk wushu tetapi untuk yang lain kami mempunyai sasaran tersendiri di Pahang nanti.

“Apapun, buat masa sekarang kami belum mempunyai kata putus mengenai sasaran pingat yang ingin dicapai dan ia akan dimuktamadkan ketika majlis penyerahan bendera oleh Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) kepada ketua kontinjen, Wan Nawawi Wan Ismail pada 27 Jun ini,” katanya.

SUKMA Pahang XV akan berlangsung di 24 venue utama di Kuantan, Pekan dan Temerloh dengan menampilkan empat maskot berbentuk gajah iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment