Saturday, June 30, 2012

Janji PBSNT Perlu Dikotakan, Hanya Piala Malaysia Jadi Taruhan!

 

"Oleh kerana Piala FA dan Liga Super sudah terlepas, kini harapan adalah kepada Piala Malaysia 2012...Berbaloikah kerajaan negeri membelanjakan RM2 juta untuk pasukan Terengganu sekiranya terlepas kesemua piala sedangkan tahun lalu, Terengganu mampu berbangga dengan Piala FA yang dimenanginya dengan mengalahkan Kelantan..."

Mampukah Terengganu menang dalam lima baki perlawanan Liga Super, termasuk di Alor Setar malam ini sebelum kejohanan itu menutup tirainya musim ini?

Apakah sasaran menduduki tempat kedua atau ketiga liga akan dicapai seperti yang dikehendaki Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said?

Ahmad Said sudah menyatakan sasarannya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Rabu lalu dan Yang Dipertua PBSNT Datuk Che Mat Jusoh turut berikrar untuk memenuhi harapan Menteri Besar itu.

Skuad Penyu boleh melupakan hasrat menjadi juara Liga Super tahun ini tetapi menduduki tempat kedua atau ketiga tahun ini sudah cukup naik dengan prestasi yo-yo pasukan itu.

Terengganu yang menduduki tempat keenam liga dengan 32 mata ketika ini dilihat masih berpeluang merebut tempat kedua atau ketiga terbaik liga sekiranya memenangi kesemua baki perlawanan.

Persoalannya, apakah ini mampu dilakukan? Apakah permainan Terengganu akan meningkat selepas perlawanan dengan Kelantan malam Sabtu lalu yang dirasakan sepatutnya menang?

Perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dilihat gagal dimanfaatkan oleh penyerang Terengganu untuk memperolehi mata penuh tidak memihak sepenuhnya kepada Terengganu kerana cuma mampu memperoleh satu mata dalam perlawanan yang berakhir seri 2-2 itu.

Terengganu ketinggalan 2-0 pada minit ke-5 dan ke-20 sebelum pasukan tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-40. Gol kedua Terengganu diperoleh minit ke-57.

Persoalannya, apakah ikrar Che Mat Jusoh itu berasaskan keyakinan jurulatih Terengganu, Peter Butler yang juga bekas jurulatih Kelantan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada terutamanya di bahagian pertahanan?

Apakah masalah pertahanan dan tumpulnya jentera serangan akan dapat diperbaiki dan ditunjukkan apabila Sang Penyu bertandan ke Alor Setar menentang Kedah hari ini?

Butler sebenarnya gembira dengan peningkatan mendadak yang ditunjukkan pemain terutama selepas ketinggalan dua gol.

"Saya perlu beri pujian kerana aksi yang ditunjukkan kedua-dua pasukan malam ini begitu mengagumkan. Saya beritahu pemain-pemain saya supaya tidak terlalu kecewa dengan keputusan ini (2-2) kerana mereka telah melakukan yang terbaik setakat ini," katanya.

Kehadiran Forkery Doe menggerakkan semula jentera serangan Terengganu yang kini menggunakan khidmat kesemua pemain – Manaf Mamat, Ashaari Shamsuddin, Abdul Hadi Yahya dan Forkey Doe sendiri.

Keputusan PBSNT tidak mengambil tindakan terhadap Forkey Doe yang lambat pulang dan terlepas dua perlawanan Liga Super membuktikan persatuan tidak mahu ada kekecohan dan ia tidak menjadi isu lagi.

PBSNT telah melepaskan Forkey Doe pada 4 Jun untuk mewakili Liberia dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia dan pemain itu sepatutnya kembali ke Terengganu pada 16 Jun.

 Ternyata Doe memberikan sumbangan besar pada perlawanan dengan Kelantan Sabtu lalu dan pastinya Sang Penyu tetap menagih sumbangannya.

Sebenarnya pencapaian sejauh ini tidaklah begitu mengecewakan dengan kalah pada perlawanan separuh akhir Piala FA dan kini memburu tempat kedua atau ketiga Liga Super.

Malah keupayaan Terengganu untuk melangkah ke pusingan kedua Piala AFC 2012 juga suatu pencapaian menarik. Kini peluang tetap ada untuk memburu Piala Malaysia.

Tiada yang lebih istimewa daripada menghadiahkan Piala Malaysia kepada rakyat Terengganu dan peminat nombor satu bolasepak Terengganu – Menteri Besar – dan seharusnya persediaan bermula daripada sekarang.

Janji sudah dibuat pada taklimat kepada Mesyuarat Exco di Hotel Hilton Sentral Rabu lalu dan kini tinggal untuk PBSNT mengotakan janjinya.

Oleh kerana Piala FA dan Liga Super sudah terlepas, kini harapan adalah kepada Piala Malaysia 2012.

Berbaloikah kerajaan negeri membelanjakan RM2 juta untuk pasukan Terengganu sekiranya terlepas kesemua piala sedangkan tahun lalu, Terengganu mampu berbangga dengan Piala FA yang dimenanginya dengan mengalahkan Kelantan di Stadium Nasional?

 Jawapannya ada kepada pemain, pengurusan,Cik Mat Jusoh dan Peter Batler!

No comments:

Post a Comment