Saturday, June 30, 2012

Terengganu Tumpu Pembangunan Kawasan Taman Biopolimer Kerteh

Kerajaan negeri Terengganu memberikan fokus untuk membangunkan kawasan Taman Biopolimer Kerteh seluas kira-kira 60 hektar di Kemaman untuk dijadikan kawasan bioteknologi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Datuk Toh Chin Yaw berkata, untuk memantapkan lagi kawasan itu, kerajaan negeri bersetuju menambah 1,000 hektar lagi di sebelah kawasan asalnya.

"Dalam masa tiga hingga lima tahun lagi, kawasan itu akan menjadi satu tarikan bagi pelabur bioteknologi," katanya  selepas merasmikan program Marathon Amal Berbasikal di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam tempoh itu, katanya RM7 bilion dijangka dilaburkan oleh syarikat-syarikat dari luar negara dalam bidang bioteknologi di kawasan tersebut.

Setakat ini, Toh berkata dua syarikat telah diberikan tanah untuk menjalankan aktiviti bioteknologi menggunakan bahan kayu bagi dijadikan makanan ternakan yang melibatkan pelaburan hampir RM2 bilion.

Kedua-dua syarikat berkenaan masing-masing daripada Korea dan Perancis, katanya.

Beliau berkata satu lagi syarikat dari Amerika Syarikat baru sahaja menandatangani perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri untuk melabur RM1.65 bilion dalam bidang bioteknologi di kawasan itu.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk pelaburan dalam penyelidikan yang dijangka sekurang-kurangnya RM60 juta dan industri-industri sokongan seperti memproses bahan-bahan terpakai.

Katanya industri-industri bioteknologi itu dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada 3,500 orang seperti tenaga mahir, jurutera dan juga penyelidik, terutamanya rakyat tempatan.

Toh berkata, dengan kehadiran syarikat-syarikat berkenaan, kerajaan negeri telah berbincang dengan pelabur-pelabur berkenaan bagi mewujudkan kursus-kursus yang sesuai untuk institusi-institusi pengajian tinggi di negeri itu.

"Kita akan cuba rapatkan perhubungan antara institusi pengajian tinggi dan pelabur-pelabur ini," katanya. Untuk memberi sokongan bahan mentah kepada industri-industri itu, katanya kerajaan negeri akan menanam pokok dari spesis-spesis yang sesuai seperti pokok petai belalang atau nama saintifiknya "Leucaena leucocephala" selain akasia.

Selain cepat tumbuh, katanya pokok petai belalang mudah dijaga.

Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri mungkin akan mewujudkan satu skim seperti Felda atau Fecra di kalangan penduduk miskin untuk menanam pokok tersebut.

"Mungkin kita beri 2.0 hektar hingga 2.4 hektar seorang dan hasilnya kita boleh tolong pasarkan," katanya sambil menyifatkan ini satu peluang bagi rakyat negeri Terengganu untuk menambahkan pendapatan.

No comments:

Post a Comment