Thursday, June 28, 2012

JKKK Jangan Asyik Bincang Soal Projek - Ahmad Said

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegur sikap segelintir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang hanya membincangkan mengenai projek setiap kali mesyuarat JKKK diadakan dan membelakangkan masalah kampung yang dihadapi.

Ahmad berkata, sepatutnya masalah kampung perlu diberi keutamaan untuk dibincangkan kerana tanggungjawab JKKK adalah bagi memastikan kesejahteraan kampung selain membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan masing-masing.


“Berapa kali kita (JKKK) ketika mesyuarat berbincang mengenai keselamatan dan masalah kampung seperti masalah curi ayam, curi lembu dan curi kelapa sawit? Ini tidak, yang dibincangkan hanya pasal projek. Lepas projek padang bola, projek futsal pula,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama JKKK Daerah Kemaman dan Penyampaian Anugerah JKKK Terbaik 2011 yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Ahad lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Adun Kemasik, Ir Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Hampir 2,000 jawatankuasa dari 121 JKKK seluruh daerah ini hadir pada majlis berkenaan dan mendengar amanat yang disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu. Menurutnya, JKKK sepatutnya mengambil langkah ke arah mengukuhkan parti apatah lagi Pilihan Raya Umum (PRU) juga akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, beliau turut meminta agar JKKK kerap turun padang menziarah rakyat terutama yang sakit bagi mendengar keluhan dan perasaan rakyat seterusnya membantu meringankan beban mereka.

“Takkan tak boleh dalam seminggu dua, tiga buah rumah, kita (JKKK) turun melawat. Ini sebaliknya, bila Menteri Besar turun melawat baru kelam kabut.

Kadang kadang ada juga JKKK yang tidak tahu ada penduduk di kampungnya terlantar sakit diserang strok. "Jadi, saya minta JKKK lebih bersungguh-sungguh (membela nasib penduduk) lepas ni.

Mengapa kita tak boleh jalankan amanah sedangkan kita mempunyai segala kemampuan untuk membantu, kita ada duit yang cukup.

Jangan ambil lewa kerana di akhirat nanti kita (JKKK) akan dipersoal,” katanya.

Sempena majlis berkenaan, Ahmad menyampaikan hadiah berupa seunit komputer riba dan mesin pencetak kepada JKKK terbaik 2011 bagi setiap Dun yang mana JKKK Geliga, Chukai mendahului senarai penerima JKKK terbaik berkenaan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment