Sunday, June 17, 2012

Kompleks Biopenapisan Di Kerteh Jana RM20.4b Menjelang 2020, 2,500 Pekerjaan

"...apabila siap kelak, kompleks itu mampu menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini sekali gus memberi manfaat kepada penduduk tempatan dari segi ekonomi....Keseluruhan projek tersebut dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) kumulatif sebanyak RM20.4 bilion menjelang 2020 di samping mencipta 2,500 pekerjaan 'hijau' di Malaysia."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Bagi kebanyakan rakyat Terengganu, mereka biasa mendengar dan mengenali pokok Petai Belalang dan Akasia.

Namun kedua jenis pokok itu ketika ini mungkin terbiar atau dibiarkan begitu sahaja. Namun dalam tempoh beberapa tahun akan datang pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Akasia atau Acacia Mangium akan menjadi tanaman penting bertaraf komersil di Terengganu.

Ini kerana kedua-duanya akan digunakan sebagai bahan mentah yang diperlukan di Kompleks Biopenapisan yang bakal dibangunkan di Taman Polimer, Kertih yang dijangka mampu menjana perolehan sebanyak RM1 trilion.

Ini bukan ‘mimpi Pak Belalang’ tetapi realiti yang jangan sembarangan diperlecehkan kerana kompleks biopenapisan terbesar Asia menjelang 2014 akan dibangunkan di negeri ini. Ia berkat kerjasama strategik antara kerajaan negeri Terengganu, Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu berlangsung Rabu (13 Jun 2012) lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan kerajaan negeri akan menanam pokok berkenaan bulan depan sebagai percubaan untuk melihat keberhasilannya.

Sebagai persediaaan, sejumlah 30,000 hektar tanah telah disediakan untuk pembangunan ladang pokok Petai Belalang yang akan menghasilkan 1.5 juta tan metrik cip kayu setiap tahun daripada pokok berkenaan.
 
Dan sekiranya projek itu berjaya dan menguntungkan, Kerajaan Negeri akan sarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang.

Kerajaan Negeri akan mengalakkan petani di negeri ini menanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini memerlukan bahan mentah berkenaan yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.


Kerajaan Terengganu tidak mahu tunggu lama untuk merealisasikan kompleks biopenapisan terbesar di Asia itu di kawasan seluas 1,000 hektar itu apabila pembinaannya akan mula dibina bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada 2014.

Dibangunkan oleh ECERDC, kos prasarana kompleks tersebut yang terletak di Taman Biopolimer Kertih dianggarkan RM170 juta. Taman Biopolimer Kertih ini merupakan antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri bioteknologi.

Kejayaan Kerajaan Negeri menempatkan projek ini yang menjadi projek mercu tanda utama dan yang pertama di Malaysia menggunakan bahan mentah cellulosic untuk menghasilkan bioderivatif seperti karbohidrat, biokimia, biomaterial, biobaja dan ramuan makanan haiwan yang aktif pastinya akan merancakkan lagi industri bioteknologi di negara ini.

Kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti dan logistik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BiotechCorp Datuk Mohd Nazlee Kamal menjangkakan projek itu menjana pendapatan negara kasar terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 dengan pengeluaran 800,000 tan metrik bioderivatif setahun.

Bagi Kerajaan Negeri, projek ini bukan sahaja semakin melengkapkan Terengganu sebagai salah sebuah negeri maju menjelang 2020 tetapi ia turut menyediakan 2,500 peluang pekerjaan baharu bagi negeri ini.

Dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM6.8 bilion, kompleks yang terletak di kawasan seluas 1,000 hektar di taman itu dijangka akan diduduki oleh lapan penggiat industri bioteknologi perindustrian menjelang 2015.

Bagi Menteri Besar, keyakinan pelabur terhadap keupayaan Terengganu sebagai destinasi pelaburan unggul, dinamik dan kompetitif membuktikan negeri ini mampu bersaing di peringkat global.

Ini kerana Taman Biopolimer kini berjaya menarik kedatangan pelabur besar seperti Hi-Essence Cable Sdn Bhd, MIE Copper Sdn Bhd dan CJ Arkema, masing-masing dengan pelaburan berjumlah melebihi RM2 bilion.

Projek ini pastinya akan menguntungkan semua pihak dan lebih membanggakan, terdapat beberapa syarikat lagi, termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk melabur di lokasi sama.

Bagi Ahmad Said, perkembangan positif itu mampu menjadikan Taman Biopolimer sebagai hab industri bioteknologi di peringkat antarabangsa serta menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

Penubuhan kompleks ini tentunya sesuatu yang ideal bagi menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini dan secara tidak langsung mampu memberi manfaat dan menjana pendapatan.

Yang paling penting ia akan menyediakan peluang pekerajaan dan penghasilan pertanian yang besar untuk rakyat Terengganu.

Nota - sebahagian besar bahan disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Trg FM  14 Jun 2012.

No comments:

Post a Comment