Thursday, June 21, 2012

Kurang Fokus Punca Penyu Dihukum Saat-Saat Akhir

Kurang fokus dan gagal memanfaatkan peluang antara faktor skuad Terengganu dimalukan 0-1 oleh pendahulu liga, Lions XII dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam semalam.

Jaringan pada masa kecederaan itu nyata mengejutkan dan tidak disenangi oleh ketua jurulatih Terengganu Peter James Butler di mana anak buahnya sebelum itu berjaya mengawal permainan namun menerima padah setelah leka hingga gagal memungut satu mata (jika seri) sehingga tamat permainan.

Katanya, barisan pertahanan sedikit longgar pada masa kecederaan empat minit yang diperoleh dan kealpaan itulah memberi ruang buat pasukan lawan mencuri peluang pada penghujung permainan.


Kedudukan itu menyebabkan peluang Terengganu untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas Liga Super tampak sukar.

Meskipun skuad kendalian Peter James Butler lebih menguasai perlawanan, namun Skuad Penyu menerima padah selepas terleka seketika pada masa kecederaan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang mengasak kubu pertahanan lawan, namun peluang mendahului lawan gagal disempurnakan pemain tengah, Joseph Kalang Tie apabila sepakannya sekadar melepasi palang gol pelawat pada minit ke-8.

Dua minit selepas itu, Terengganu sekali lagi berjaya membolosi kubu pertahanan Singa, bagaimanapun rembatan kencang penyerang yang kembali cergas, Abdul Manaf Mamat dari luar kota penalti tersasar di sebelah kanan gawang.

Pasukan kendalian, V Sundramoorty juga tidak kurangaksinya apabila sesekali melancarkan serangan, namun berjaya disekat bentang pertahanan Terengganu yang diketuai Mohd Faizal.

Pada minit ke-26, Terengganu melalui detik mendebarkan apabila hantaran lintang di luar kotak penalti hampir menerjah jaring hasil rembatan Shahdan Sulaiman, namun kecekapan Mohd Sharbinee tidak dapat disangkal setelah berjaya mendakap kemas bola daripada dibolosi.

Tersentap dengan itu,Terengganu sekali lagi hampir mendapat sentuhan jaringan pembukaan melalui gandingan Jospeh Kalang Tie dan Abdul Hadi Yahaya, namun tendangan padu Abdul Hadi berjaya didakap penjaga gawang pelawat, Izwan Mahbud pada minit ke-27.

Masuk babak kedua, kedua- dua pasukan mempamerkan corak permainan lebih agresif dalam memburu gol. Lions XII yang tampil dengan aksi lebih kemas nyaris mendahului tuan rumah apabila penyerangnya,

Irwan Shah berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang hasil hantaran lintang yang dilakukan Jumaat Jantan dalam kotak penalti pada minit ke-62, namun tandukannya tersasar melepasi palang gol.

Pada minit ke-76 pasukan pelawat sekali lagi mencemaskangawang tuan rumah setelah penyerangnya, Irwan Shah berjaya menewaskan penjaga gawang Terengganu dalam aksi satu lawan satu di depan gol, namun tindakan pantas benteng pertahanan skuad Penyu, Mohd Faizal meranapkan impian Lions XII mendahului perlawanan.

Kealpaan tuan rumah dalam memburu gol akhirnya terhukum setelah pemain gantian Lions XII, Suffian Anuar berjaya merobek gawang Terengganu pada masa kecederaan, seterusnya berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Kuala Terengganu

"Kami berjaya mengawal perlawanan... sepatutnya kami tidak berhak untuk kehilangan tiga mata penuh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.

Sinar Harian & Kosmo!

No comments:

Post a Comment