Sunday, June 24, 2012

Larian Jabatan Sultan Mahmud Diadakan Semula

Johan bagi setiap kategori Larian Perdana PMINT 2012 meraikan kejayaan masing-masing di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.
Terengganu mahu mengembalikan semula kegemilangan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud yang telah terhenti sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan semula acara tersebut pada 29 September ini yang dijangka disertai lebih 10,000 peserta dari dalam dan luar negara.


Katanya, larian sejauh 21 kilometer itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai keseluruhan sebanyak RM250,000 dengan pemenang tempat pertama meraih RM30,000.

Beliau memberitahu, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa dan terbuka antarabangsa.

 "Buat masa ini, kita telah menawarkan penyertaan ke beberapa negara dan ada kalangan negara itu seperti Thailand, Singapura serta di benua Afrika sudah mengesahkan untuk turut serta.

"Kita masih buka kepada yang ingin turut serta dan mereka boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi media massa dan internet yang akan kita hebahkan dalam waktu terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian Perdana 'Suka-suka' anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) 2012 di Taman Syahbandar di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar PMINT, Datuk Osman Muda. Rozi memberitahu, Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud itu diwujudkan semula bukan hanya bertujuan mencungkil bakat baru dalam acara tersebut malah dapat membantu menjana industri pelancongan Terengganu.

"Larian ini sudah dikenali di serata dunia suatu ketika dulu, namun terhenti lebih 10 tahun. Jadi, kita nak wujudkan semula larian ini dalam usaha membantu mempromosi pelancongan Terengganu di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, Larian Perdana 'Suka-suka' yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu terbuka, veteran dan sekolah rendah tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment