Thursday, June 7, 2012

Penolong Pegawai Penguatkuasa SPAD Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM7,000

Seorang penolong pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM7,000 tahun lepas.

Mohd Azam Abdullah Zawawi, 44, yang bertugas di SPAD cawangan Kuala Terengganu didakwa atas enam pertuduhan memperoleh suapan wang tunai RM6,000 daripada K R Alagendran menerusi akaun bank DMIX Harmony Trading sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori Alagendran yang membawa batu kasaran yang melanggar Akta Pengangkutan Darat 2010.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di B-338, CIMB Bank Jalan Beserah di antara 26 April hingga 21 Okt 2011 dan boleh dituduh di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan berikutnya, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada Alagendran sebagai wang perlindungan untuk tidak mengambil tindakan sama terhadap lori milik Alagendran pada 13 Disember tahun lalu kira-kira pukul 12.15 pagi di hadapan Maxis Jalan Beserah, di Kuantan pada 13 Dis 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 kerana menerima wang perlindungan terbabit tetapi tidak melaporkan kepada SPRM berkenaan transaksi penyogokan terbabit dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Alagendran yang membawa muatan tidak mengikut peraturan yang mana hukuman adalah mengikut Seksyen 24 akta sama.

No comments:

Post a Comment