Thursday, June 7, 2012

Manfaatkan Tanah Lot Yang DiAnugerahkan Kerajaan

Mohamed Awang Tera (kanan) menyampaikan surat tawaran kepada seorang penerima semasa Majlis Penyerahan Tanah Lot Kerajaan kepada 49 penduduk Kampung Paya Berenjut dan Kampung Mak Lagam di Cukai, Terengganu,kelmarin.
Penduduk yang menerima tanah lot kerajaan perlu memanfaatkan pemberian itu dengan sebaik-baiknya dan tidak terlalu ghairah menjual tanah tersebut kepada pihak lain untuk kepentingan tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, ini kerana peluang memiliki tanah kerajaan itu hanya sekali dan jika tidak dimanfaatkan, ia akan merugikan mereka.


Selain itu katanya, nilai tanah tersebut semakin meningkat dengan nilai terkini dianggarkan RM60,000 dan ia mampu mencecah RM120,000 bagi setiap lot pada masa akan datang.

"Lot tanah yang mereka terima sekarang berharga melebihi RM60,000, ia dijangka terus meningkat sehingga RM120,000 setiap lot.

Untuk peluang ini, mereka hanya perlu membayar RM4,000 kepada Pejabat Tanah, bukannya RM60,000 mengikut harga semasa.

"Saya harap para penerima tidak akan menjual tanah mereka kepada orang lain memandangkan pemberian itu hanya sekali untuk setiap orang," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai tersebut ketika berucap pada majlis penyerahan tanah lot kerajaan kepada 49 penduduk Kampung Paya Berenjut dan Kampung Mak Lagam dekat Cukai kelmarin.

Dalam pada itu, seorang penerima, Zukri Mamat, 39, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tersebut yang membolehkannya dan keluarga membina rumah sendiri di atas tanah lot itu. "Selama ini saya tinggal dan menumpang teduh di rumah mertua tapi setelah menerima tanah lot ini, dapatlah saya bina rumah sendiri untuk tinggal bersama isteri dan anak," katanya.

Bagi Saidi Yahya, 45, pula, dia berasa terharu setelah berpeluang memiliki tanah untuk kediaman memandangkan selama ini dia dan keluarga tinggal menyewa di sekitar kampung asalnya, Paya Berenjut.

Seorang lagi penerima, Noor Maizatul Mohd. Mazlan, 25, ketika ditemui berkata, dengan memiliki tapak kediaman sendiri, dia boleh berdikari dan tidak lagi bergantung hidup kepada ibu bapa seperti sekarang.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment