Monday, June 25, 2012

Persatuan Nelayan Tanam 100 Unjang Tarik Ikan Terkumpul

Muhammad Pehimi (dua Kiri) bersama ahli persatuan membuang unjang ke dalam laut sempena Program Amal Tanam 100 Unjang di Kampung Raja, kelmarin.
Ahli Persatuan Nelayan Kota Putera menanam 100 unjang untuk kawanan ikan di perairan luar taman laut Pulau Perhentian pada Program Amal Tanam 100 Unjang, di sini kelmarin.

Pengerusinya, Wan Mohd Zaki Wan Othman berkata, lebih 100 peserta berkumpul seawal jam 7 pagi di pangkalan bot Tanjung Lali dekat Kampung Raja Utara sebelum berkonvoi ke laut dengan menaiki 80 buah bot laju kira-kira jam 8.00 pagi.


Menurutnya, unjang tersebut dibuat menggunakan ranting dan daun pokok tertentu kemudian dibenamkan ke dalam laut di kawasan karangan antara Pulau Rhu dan Pulau Perhentian.

“Hanya pokok tertentu sahaja yang digunakan sebagai unjang antaranya pokok teja, palma, kelapa laut (tar), dan asam jawa.

“Pokok ini dapat menarik kehadiran pelbagai spesies ikan bermain di unjam itu seperti ikan kerisi, selar, merah dan kerapu selain mampu bertahan selama enam bulan di dalam air laut tanpa mengalami pengeringan,” katanya.

Turut serta pada program itu ialah Adun Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

Wan Mohd Zaki berkata, sebanyak enam lokasi unjang dibenamkan dan setiap kawasan unjang diberi nama sempena nama wakil rakyat daerah ini termasuk Jabi yang turut memberi sumbangan.

Kata beliau, kos membuat unjang ialah RM300 membabitkan pembelian ranting pokok yang dipotong dan kemudian ikat serangkai serta mempunyai pemberat untuk menetapkan kedudukan unjang itu.

Pemberat pula diperbuat daripada bongkah simen yang diikat pada buluh.

“Unjang adalah kaedah tradisional yang berfungsi seperti tukun yang dapat menarik kehadiran banyak ikan dalam tempoh dua hari sahaja untuk berkumpul di situ dan lokasi unjang itu akan dikunjungi ahli untuk memancing setiap hari atau pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini ahli persatuan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti kakitangan awam, pesara, penduduk kampung dan ahli perniagaan.

Katanya, bilangan ahli semakin meningkat berbanding hanya empat orang dengan empat buah bot pada awalnya kini telah menjadi 150 orang.

Muhammad Pehimi turut kagum dengan semangat ahli kerana membina unjang itu secara gotong-royong dan keluar beramai-ramai memasang unjang tersebut ke laut.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment