Thursday, June 14, 2012

Petani Terengganu Digalak Tanam Pokok Petai Belalang


Kerajaan Terengganu akan menggalakkan petani di negeri itu menanam pokok Petai Belalang (Leucaena leucocephala) dan Akasia (Acacia Mangium) untuk digunakan sebagai bahan mentah yang diperlukan Kompleks Biopenapisan yang bakal dibangunkan di Taman Polimer, Kertih.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan menanam pokok berkenaan bulan depan sebagai percubaan untuk melihat keberhasilannya.

"Sekiranya projek itu berjaya dan menguntungkan, kita akan sarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Setiausahanya Datuk Mazlan Ngah manakala ECERDC oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John manakala BiotechCorp diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Ahmad Said berkata pembinaan Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia di kawasan seluas 1,000 hektar itu bermula bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada 2014.

 Katanya bagi memastikan kelancaran operasi hiliran, sejumlah 30,000 hektar tanah disediakan untuk pembangunan ladang bahan mentah yang akan menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok Petai Belalang dan Acacia Mangium setiap tahun.

"Jadi kita akan galakkan petani kita tanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini memerlukan bahan mentah berkenaan yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif," katanya.

Taman Biopolimer Kertih merupakan antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri bioteknologi.

Kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti dan logistik.

No comments:

Post a Comment