Tuesday, June 26, 2012

Piala Asia B22 - Harimau Robek Filipina 7-0

ROZAIMI (kiri) membuka jaringan skuad Harimau Muda pada aksi menentang Filipina semalam yang menyaksikan mereka menang 7-0.
Harimau Muda A mencatat kemenangan pertama Kelayakan Piala Asia B22 menewaskan Filipina 7-0 dalam perlawanan kedua kumpulan G di Stadium Aung San, Myanmar petang semalam.

Gol Malaysia yang dijaringkan oleh Rozaimi Abdul Rahman (m-3, 35, 62, 74), Fandi Othman (33), Wan Zaharulnizam (40) dan D Saarvindran (92) melengkapkan pesta gol skuad kendalian Ong Kim Swee.

Harimau Muda yang sebelum ini tewas 2-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pertama Sabtu lalu, bermula garang, dengan jaringan seawal minit ke-3 sebelum menambah tiga lagi jaringan pada babak pertama.


Filipina terus dirundung malang apabila Rozaimi sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada babak kedua minit 62 dan 74 sebelum D Saarvindran melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia pada minit 92.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat dalam kumpulan selepas dua perlawanan dengan mengutip tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kalah.

Selepas ini, Harimau Muda bakal menentang Taiwan (Khamis ini) dan Vietnam (30 Jun) di stadium yang sama sebelum aksi terakhir berdepan cabaran Myanmar di Stadium Thuwunna pada 3 Julai depan.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Turut layak ialah pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan peringkat kelayakan.

Terdahulu, skuad Korea Selatan yang dikendalikan Kim Tae Young juga melakar kemenangan kedua selepas membelasah Taiwan 8-1 sementara Myanmar menewaskan Vietnam 3-1 dalam dua lagi aksi Kumpulan G semalam.

No comments:

Post a Comment