Monday, June 25, 2012

Mahkamah Persekutuan Putuskan Akta Hasutan Tidak Boleh Dicabar


Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan perlembagaan dan kesahan Akta Hasutan 1948 tidak boleh dicabar.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (gambar atas) berkata Perkara 4(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang sedemikian tidak boleh dicabar.


"Akta Hasutan adalah undang-undang yang bermanfaat dan ia tidak ultra vires Perlembagaan Persekutuan," kata Zulkefli yang mengetuai panel lima hakim yang sebulat suara menolak rayuan peguam P. Uthayakumar untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak sah di sisi perlembagaan.

Beliau berkata hujah yang dikemukakan oleh peguam Uthayakumar, M Manoharan tidak mempunyai merit.

Manoharan berhujah Akta Hasutan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kebebasan bersuara dan memberi pendapat sebagai hak asasi semua warganegara.

Uthayakumar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 24 Feb lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak sah di sisi perlembagaan.

No comments:

Post a Comment