Thursday, June 7, 2012

PTPTN Tangguh Pinjaman Unisel Buat Sementara Waktu

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) buat sementara waktu.

PTPTN dalam kenyataan media semalam berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira desakan parti pembangkang supaya pinjaman tersebut dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.


"PTPTN sentiasa mengikuti perkembangan ini dan memandang berat cadangan serta desakan tersebut, terutamanya ia datang daripada parti pembangkang yang kebetulan adalah kerajaan di negeri Selangor," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

 "PTPTN percaya terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma. Oleh itu, pinjaman PTPTN di kalangan pelajar tidak diperlukan," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

No comments:

Post a Comment