Tuesday, June 12, 2012

Ramadan - Pendapatan Penternak Ayam Kampung Terengganu Melambung

Bulan Ramadan hampir menjelang dan setiap kali tibanya bulan puasa, penternak ayam kampung di Terengganu boleh tersenyum lebar memandangkan permintaan daging ayam dijangka melambung tinggi.

Pengurus AB Tepoh Trading, syarikat ternakan ayam kampung terbesar di Kampung Lerek Tepoh Kuala Nerus,  Abu Bakar Hamzah Ahmad berkata pendapatan penternak ayam kampung sentiasa lumayan pada bulan puasa.


"Daging ayam kampung membuka selera pada bulan puasa, sebab itu penternak berlumba-lumba meningkatkan jumlah peliharaan masing-masing bagi menambah pendapatan.

"Harganya naik kepada RM15 sekilogram bagi ayam berumur dua hingga tiga bulan berbanding bulan biasa iaitu RM12 sekilogram," katanya.

Untuk itu, Abu Bakar, 31, berkata beliau sendiri telah meningkatkan jumlah ternakan tahun ini kepada 5,000 ekor sejak dua bulan lepas, khusus bagi bekalan untuk jualan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya beliau mengupah dua penduduk di Kampung Lerek untuk menternak ayam tersebut dengan hanya membekalkan anak ayam dan makanan manakala penternak menyediakan reban.

Ramadan tahun lepas, beliau menternak kira-kira 4,000 ekor ayam kampung.

Abu Bakar berkata pada bulan-bulan biasa, beliau menternak antara 2,000 dan 2,500 ekor sebulan untuk bekalan restoran, pasar tani, hotel dan juga peniaga-peniaga namun jumlah itu dijangka tidak mencukupi.

Pada bulan puasa ini, beliau menjangka mampu menjual kira-kira 100 ekor ayam yang telah siap diproses sehari berbanding 50 dan 60 ekor sehari pada bulan-bulan lain.

Beliau berkata ayam tersebut dikeluarkan secara berperingkat-peringkat iaitu ayam berumur dua bulan setengah untuk pasaran di pasar tani, ayam berumur dua bulan untuk keperluan hotel, dan ayam berusia 45 hari sesuai untuk digoreng.

Katanya stok ayam yang ada sekarang yang berumur dua dan tiga bulan masing-masing sebanyak 1,000 ekor dan umur 45 hari serta umur dua minggu masing-masing 1,500 ekor.

Abu Bakar berkata beliau mendapatkan bekalan anak ayam dari kedai menjual burung di sekitar Terengganu pada harga RM2.10 seekor.

Beliau yang juga anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Maras/Batu Rakit itu berkata ayam kampung yang dimasak gulai atau digoreng merupakan hidangan berbuka puasa yang popular di Terengganu.

No comments:

Post a Comment