Wednesday, June 6, 2012

Sukma ke 15 - Wilayah Beri Amaran Kepada Terengganu

Adnan (berdiri tiga dari kiri) bergambar dengan barisan pelumba Wilayah Persekutuan selepas majlis penyerahan basikal kepada skuad tersebut di Putrajaya semalam.
Kontinjen Wilayah Persekutuan menyasarkan 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang yang dijadual bermula pada 7 hingga 16 Julai depan.

Ketua kontinjen, Datuk Adnan Md. Ikshan berkata, pasukan itu yang dibarisi 545 atlet dan 170 pegawai telah bersedia untuk menghadapi saingan negeri lain terutama juara bertahan, Terengganu.


"Pasukan kita telah memulakan persiapan lebih awal iaitu sejak bulan Julai tahun lepas. "Kita optimis pasukan Wilayah Persekutuan mampu meraih pencapaian terbaik tahun ini, memandangkan banyak sukan yang dipertandingkan kali ini memihak kepada kita," katanya selepas majlis penyerahan basikal kepada pasukan berbasikal Wilayah Persekutuan di Putrajaya semalam.

Katanya, antara sukan yang dijangka menghasilkan pingat ialah renang, gimnastik, memanah, karate dan badminton.

Wilayah Persekutuan merangkul tujuh pingat emas, 23 perak dan 31 gangsa serta meraih tempat kelima pada Sukma di Kuala Lumpur tahun lalu.

Pada Sukma di Pahang tahun ini, sebanyak 24 acara sukan akan dipertandingkan yang menawarkan 348 pingat emas.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya membelanjakan hampir RM60,000 untuk membeli lapan buah basikal baharu untuk atlet berbasikal mereka.

"Harapan kita, dengan basikal baharu ini atlet-atlet akan lebih bersemangat untuk bertanding dan akan membawa pulang pingat buat kontinjen," katanya.

Pasukan berbasikal Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita, berumur antara 14 dan 19 tahun dikendalikan Musairi Musa sebagai pengurus selain dilatih bekas atlet kebangsaan, Datuk Ng Joo Ngan.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment