Thursday, June 7, 2012

Terengganu Bantu Pembedahan Adam, Sumbang RM100,000


Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju untuk menyumbangkan RM100,000 kepada Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau mempengerusikan mesyuarat Exco semalam bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Menurutnya, sumbangan itu adalah dari Tabung Penyakit Kronik Darul Iman, yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.


“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Sinar Harian telah menubuhkan Tabung Adik Adam bagi membolehkannya mengumpul wang bagi menampung kos rawatan yang diperlukan. Adam yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, kini bergantung dengan ubat tahan sakit kerana mengalami sakit kepala berpanjangan, kesan daripada penyakit yang dialaminya itu.

No comments:

Post a Comment