Thursday, June 7, 2012

Tiga Sekeluarga Penghidap Sakit Kronik Terima Kunjungan Menteri Besar

Penderitaan tiga sekeluarga yang menghidap sakit kronik di Kampung Panji di Kuala Terengganu, mendapat perhatian Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang meluangkan masa melawat mereka semalam.

Beliau turut menghulur bantuan kepada Zainah Mohamad, 68, yang lumpuh akibat angin ahmar, menantunya Mohd Nor Abu Bakar, 43, juga penghidap angin ahmar serta cucu Abdul Hafifi Abdul Rahman, 21, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak berusia dua tahun.


Zainah ketika ditemui di rumahnya melafazkan kesyukuran dengan sumbangan kerusi roda yang disampaikan Menteri Besar kerana dapat menggunakan kemudahan itu untuk bergerak.

"Sebelum ini makcik hanya berharap kepada menantu untuk memapah makcik dan mengengsot perlahan-lahan jika mahu ke bahagian dapur rumah. Malah untuk memudahkan anak menantu, makcik terpaksa menggunakan lampin pakai buang kerana sukar mahu ke tandas.

"Anak makcik, Ruhaida Muhammad, 27, juga terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada makcik, sambil membantu urusan harian di rumah yang agak banyak kerana di rumah ini sahaja ada tiga orang yang sedang sakit," katanya.

No comments:

Post a Comment