Stesen radio TerengganuFM yang semakin mengukuhkan kedudukannya dari segi populariti menyasarkan pendapatan iklannya mencecah kira-kira RM1.18 juta pada tahun ini.
Pemangku Pengarah Penyiaran Terengganu, Azizah Yusuff berkata, TerengganuFM menerusi ejen pemasarannya, Utusan Airtime yakin ia dapat dicapai dengan peningkatan keyakinan para pelanggan dan promosi lebih meluas.
"Sasaran pendapatan tersebut dilihat agak munasabah kerana TerengganuFM dan Utusan Airtime pernah mencapai perolehan tertinggi sebanyak RM948,903 pada 2008 dan cuma menurun sedikit kepada RM844,449 tahun lalu.
"Sehubungan itu, TerengganuFM akan terus melipatgandakan usaha pada tahun ini untuk mencapai sasaran menerusi beberapa pendekatan program baru di samping promosi termasuk turun padang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ceria TerengganuFM di Hotel Permai di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Program Radio RTM , Siti Mohani Saad.
Selain mengundang kira-kira 30 pengusaha dan pengiklan, TerengganuFM turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Pemasaran RTM, Jamal Abdullah dan Eksekutif Pengiklanan Utusan Airtime Terengganu, Tengku Armie Marina Tengku Arif.
No comments:
Post a Comment