Wednesday, June 6, 2012

Usah Jadikan Koperasi Tahunan Semata-mata

Sektor koperasi di negeri ini dinasihatkan tidak menjadi koperasi yang bersifat 'tahunan' semata-mata.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Osman Ismail berkata, keadaan itu disebabkan kebanyakan koperasi ketika ini lebih cenderung merancang aktiviti masing-masing secara tahunan sahaja terutamanya setiap kali mesyuarat agung tahunan koperasi.


Justeru beliau berkata, koperasi perlu lebih proaktif dan merancang aktiviti masing-masing dari semasa ke semasa sekiranya berhasrat untuk terus kekal sebagai koperasi yang berdaya saing pada masa depan.

"Saya juga mahu koperasi ini fokus lebih jauh dan tidak membuat perancangan dari setahun ke setahun sahaja.

"Selain itu, koperasi perlu melibatkan diri dalam industri hiliran untuk terus menjana pendapatan kerana saya melihat kebanyakan koperasi sekarang lebih bergantung kepada aktiviti jual-beli sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Polis Terengganu Berhad ke-32 di Hotel Permai yang turut dihadiri oleh Pengerusi koperasi tersebut iaitu Kamarudin Hashim di Kuala Terengganu, kelmarin.

Selain terlibat dengan industri kelapa sawit di ladang seluas kira-kira 1,000 hektar, koperasi itu juga aktif dalam kegiatan perlombongan biji besi di Kemaman.

Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, pihak koperasi bercadang untuk membayar dividen sebanyak 20 peratus kepada ahlinya tahun ini memandangkan keuntungan sebelum cukai yang diperoleh kali ini melebihi RM1.6 juta.

"Sebanyak 15 peratus daripada dividen itu kita akan bayar secara tunai manakala bakinya pula kita akan masukkan ke dalam pegangan syer setiap ahli," ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian terhadap cadangan Osman yang mahu koperasi itu menubuhkan sebuah klinik koperasi polis selepas ini.

"Ya. Kita akan bincang mengenai cadangan itu selepas ini. Apa jua cabang perniagaan yang difikirkan mampu memberi pulangan kepada ahli, kita akan pertimbangkan sepenuhnya," katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1977, Koperasi Polis Terengganu Berhad kini mempunyai 169 ahli termasuk anak serta isteri anggota polis yang bertindak selaku waris atau penama kepada anggota berkenaan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment