Tuesday, June 5, 2012

YT Kumpul Bukti Kaitkan Beberapa Lagi Pelajar Sertai Bersih 3.0

Yayasan Terengganu (YT) masih menyiasat laporan berhubung beberapa orang lagi pelajar di bawah tajaannya yang terlibat dalam Perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur, April lalu.

Timbalan Pengarah YT (Pendidikan), Mohd Razali Mahmud berkata, pihaknya sedang giat mengumpulkan bukti untuk mengaitkan pelajar berkenaan, bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang kerana melanggar syarat perjanjian pinjaman.


“Sebelum menandatangani surat perjanjian sebelum ini, jelas bahawa pelajar dilarang untuk terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang- undang, atau pinjaman akan ditarik serta-merta.

 “Justeru, tindakan Kerajaan Negeri melalui YT menarik balik pinjaman sembilan penuntut di Mesir kerana menyertai demonstrasi haram di luar negara, dan terbaru, dua lagi pelajar Trefound Educare diberikan surat tunjuk sebab kerana sertai Bersih 3.0 dilihat sebagai pengajaran terbaik kepada mereka yang cuba menentang undang-undang yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Menurutnya, selain kes terbaru membabitkan dua pelajar lelaki itu, pihaknya masih giat mengumpulkan bukti kukuh untuk mengaitkan beberapa pelajar yang didapati terlibat agar hukuman setimpal diterima mereka.

“Kebanyakan bukti yang kita peroleh adalah melalui lawan sosial pelajar itu sendiri, yang dengan bangganya memuat naik gambar mereka semasa menyertai perhimpunan haram itu, selain gambar-gambar yang dirakam oleh pegawai kami,” katanya.

Katanya, tindakan kurang cerdik pelajar kerana taksub dengan parti politik tertentu hingga sanggup menggadaikan masa depan dalam pelajaran seharusnya dijadikan pengajaran kepada pelajar lain, khususnya penuntut baru.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment