Saturday, June 30, 2012
Zamri Sertai Adiq Latihan Di Belgium
Mohd. Zamri Salleh yang disenarai pelumba simpanan ke Sukan Olimpik 2012 di London bakal berlatih bersama Mohd. Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli di Belgium selama sebulan setengah bermula Isnin ini.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) yang dinobatkan selaku juara kebangsaan 2012 di Kelantan Ahad lalu, berpeluang menyertai acara lebuh raya elit lelaki sejauh 250 kilometer di London sekiranya Adiq atau Amir mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, Zamri akan pulang ke Kuala Lumpur selepas berakhirnya sesi latihan intensif di Belgium sekiranya Adiq dan Amir berjaya mengekalkan tahap kecergasan serta tidak mengalami kecederaan serius menjelang acara tersebut.
Keputusan tersebut diputuskan secara sebulat suara pada Mesyuarat Exco pertama selepas Mesyuarat Agung Pemilihan 2012-2015 dan ia dipengerusikan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab di Kuala Lumpur semalam.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) menegaskan bahawa ketua jurulatih, John Beasley harus mempertahankan pemergian Zamri ke Belgium jika menerima bantahan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Beasley adalah orang yang pertama mendesak PKBM menghantar Zamri berlatih bersama Adiq dan Amir di Belgium.
Dia berpendapat pelumba itu wajar diberikan peluang untuk berlatih bersama.
"Soal Zamri pergi atau tidak ke Olimpik bergantung kepada tuah dan keadaan. Memang setakat ini dia dinamakan selaku pelumba simpanan. Adiq dan Amir pula sudah dinamakan dua pelumba yang bakal membawa cabaran Malaysia dalam acara lebuh raya," katanya.
No comments:
Post a Comment