Skuad Penyu perlu mengambil peluang daripada kedudukan Kedah yang tertekan ketika ini untuk meraih mata penuh malam ini di Alor Setar.
Lagipun, pengurusan Terengganu sudah berikrar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, pada sesi taklimat mesyuarat Exco di Kuala Lumpur Rabu lalu bahawa Skuad Penyu akan menjamin kemenangan pada baki perlawanan Piala Super musim ini.
Tro serangan - Forkey Doe, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya perlu menjaring seberapa banyak gol malam ini untuk membantu Terengganu memperbaiki kedudukan di tangga liga.
Kemenangan malam ini akan menjadikan Terengganu mengumpul tiga lagi mata untuk mengejar kedudukan paling kurang tempat ketiga.
Kedah dilaporkan berdepan tekanan paling hebat apabila menerima kunjungan Terengganu malam ini kerana perlu mencari keputusan sempurna pada baki empat saingan Liga Super musim ini bagi mengelak jatuh ke Liga Perdana, musim depan.
Lebih membebankan, Sang Kenari 'hilang' sentuhan jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang terpaksa bercuti sekurang-kurangnya seminggu bermula Rabu lalu atas urusan keluarga.
Beberapa pemain utama Hijau Kuning termasuk penyerang import, Vedran Gerc dan Amar Rohidan pula dilaporkan belum cergas untuk diturunkan akibat kecederaan.
Tekanan turut dirasai dari luar padang apabila penyokong mendesak Sang Kenari segera bangkit agar tidak terjerumus ke Liga Perdana pada musim depan selepas bersaing di liga utama sejak 2007.
Kedah yang pernah dinobat selaku juara treble berganda kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super setelah hanya mengumpul 21 mata daripada 21 perlawanan.
"Pada saat kritikal seperti sekarang, Kedah tidak boleh keciciran mata. Hanya kemenangan dapat menghidupkan peluang terus bersaing di Liga Super musim depan," kata pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berkata ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Khazali, Wan Jamak terpaksa bercuti kerana menyambut kelahiran cahaya mata dan tugasnya diambil alih oleh penolong jurulatih, Radhi Mat Din.
"Ketiadaan Wan Jamak dan kecederaan pemain bukan alasan lemah semangat kerana peluang untuk bangkit masih ada," katanya.
No comments:
Post a Comment