Friday, July 27, 2012

20 Barangan Dalam Skim Kawalan Harga Perayaan


Sempena Aidilfitri tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenal pasti 20 jenis barangan makanan yang akan diletakkan dalam skim kawalan harga musim perayaan 2012.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata senarai barangan dan harganya sudah pun siap dan akan dibentangkan ke Kabinet dahulu sebelum diumumkan, dijangka seminggu sebelum Aidilfitri.

"Semua barangan itu adalah barang yang penting untuk kegunaan menjelang samputan hari raya dan ada harga yang turun sikit dan ada yang naik sikit berbanding tahun lalu," katanya kepada kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Ditanya mengenai sama ada barangan keperluan sempena hari raya mencukupi atau tidak, beliau berkata berdasarkan rundingan yang dibuat dengan pemborong, pembekal dan pengimport bekalan adalah mencukupi.

Sehubungan itu, Ops Ramadan akan dijalankan sepanjang bulan tersebut bagi memastikan tiada pihak atau peniaga yang cuba atau sengaja menyorokkan barangan keperluan makanan.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Program Jom Beli Barang@Putrajaya di Presint 2 yang menyediakan pelbagai jenis barangan keperluan sambutan Aidilfitri dengan harga murah.

Program berlangsung selama lima hari bermula semalam, menempatkan 250 gerai antaranya menjual pakaian dewasa dan kanak-kanak, kasut, beg, hiasan rumah, kosmetik dan tudung, dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, program yang sama turut diadakan di beberapa negeri lain iaitu di Pusat Komersil Permatang Pauh Pulau Pinang (26-30 Julai); Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar Kedah dan di Dewan Merdeka Seri Manjung Perak (25-29 Julai); Terengganu Trade Centre Terengganu (3-7 Ogos) dan Dataran Bandaraya Kota Kinabalu Sabah (26-29 Julai).

Mengulas mengenai tindakan kementerian menukar empat Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Kedah, Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan, beliau berkata itu adalah perkara biasa.

"Kalau pegawai cemerlang akan dihargai kalau tidak akan diambil tindakan itu biasa dan mungkin mereka tidak sesuai di negeri itu dan kita tukar balik mereka ke Kuala Lumpur," katanya.

Empat pegawai berkenaan dikenakan tindakan selepas Jawatankuasa Siasatan Dalaman kementerian mendapati mereka gagal menjalankan tugas dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment