Thursday, July 19, 2012

Ahmad Said Bakal Umum Ganjaran Tambahan Kepada Atlet Sukma Terengganu


Kerajaan negeri Terengganu akan mengumumkan ganjaran tambahan yang lebih besar dan lumayan sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan atlet kontinjen negeri ini yang berjaya mempertahankan gelaran Sukan Malaysia (Sukma) untuk empat tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman mengenai ganjaran istimewa itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan yakin ia berbaloi dengan usaha gigih para atlet dalam mengharumkan nama Terengganu ke persada sukan tanah air.

"Saya akan maklumkan kemudian dan yang penting ianya berbaloi dengan apa yang akan kita berikan kepada para atlet yang melakar sejarah manis buat Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu semalam.


Sebelum ini setiap atlet Terengganu yang berjaya merangkul pingat emas dijanjikan insentif sebanyak RM5,000 untuk satu pingat, RM3,000 (satu perak) RM2,000 (satu gangsa).

Sementara itu, Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15, Abdul Mubin Rahim memperoleh kegembiraan berganda apabila kerajaan Terengganu mengumumkan insentif tambahan sebanyak RM10,000 sebagai menghargai kejayaannya itu.

Atlet angkat berat itu berkata beliau secara peribadi sangat bangga dengan kejayaannya dan bersyukur dengan pemberian insentif khas itu, yang diumumkan Ahmad Said.

"Saya bersyukur kerana dapat menyumbang emas kepada kontinjen Terengganu namun apa yang lebih menggembirakan, saya berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara angkat berat yang mana ia merupakan misi besar saya pada Sukma kali ini

 "Jumlah imbuhan yang diberikan amat besar dan saya berhasrat menyimpan wang tersebut bagi kegunaan masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama Menteri Besar dan barisan exco di Wisma Darul Iman semalam.

Atlet kelahiran Seberang Takir berusia 21 tahun itu, merupakan anak keenam daripada 13 beradik dan mula menceburi sukan angkat berat sejak dari zaman persekolahan.

No comments:

Post a Comment