Thursday, July 19, 2012

Sultan Terengganu - Jauhi Diri Daripada Amalan Bertentangan Ketika Ramadan


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru umat Islam di negeri ini agar lebih menghormati dan memuliakan kedatangan Ramadan dengan menjauhkan diri daripada amalan yang bertentangan dengan Islam serta meningkatkan ketaqwaan agar tergolong sebagai orang yang diredai.

Titah baginda sambil meningkatkan amalan mulia, golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dengan dibantu menerusi amalan bersedekah dan memberi makan kepada orang berbuka berpuasa.

"Beta mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakyat beta yang beragama Islam supaya menggunakan peluang yang dianugerahkan oleh Allah sepanjang bulan Ramadan untuk melipatgandakan usaha dan amalan ibadah kepadanya.

"Bulan anugerah Allah ini hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara kebaikan kerana mungkin ini merupakan tahun terakhir bagi kita merasai rahmat Ramadan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam perutusan menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak di Kuala Terengganu semalam.

Sultan Mizan bertitah dari sudut psikologi, puasa mendidik seseorang ke arah kebaikan, walaupun mereka sering menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan.

Baginda bertitah dengan berpuasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang menjadikan jiwanya kuat serta membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang banyak dan menjaga kesihatan tubuh badan.

"Melalui kajian sains yang dijalankan, didapati puasa dapat mencegah pelbagai jenis penyakit antaranya menurunkan kadar tekanan darah dan berat badan.

"Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat sepanjang bulan ini merupakan latihan tubi insan ke arah pembersihan hati, mendisiplinkan anggota tubuh dan pengukuhan akhlak," titah baginda.

Sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment