Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan cadangan untuk menganjurkan debat terbuka antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang tidak membawa sebarang kebaikan.
Beliau berpendapat program tersebut tidak perlu, apatah lagi apabila usul berkenaan datangnya daripada pihak yang secara jelas menyebelahi parti pembangkang.
“Saya tidak nampak debat membawa kebaikan, kita bukan budak sekolah yang berdebat untuk melihat siapa yang menang, malah jelas dalam beberapa debat yang dianjurkan sebelum ini tidak menemui sebarang keputusan dan kesudahan yang baik.
“Justeru, saya melihat cadangan dan kesediaan pihak tertentu untuk menjadi orang tengah bagi menganjurkan debat antara Kerajaan Negeri dan pembangkang hanyalah bertujuan menterjemahkan kebaikan mereka (pembangkang) semata-mata,” katanya kepada pemberita sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.
Menurut Ahmad Said, beliau tidak sesekali akan terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang sememangnya diketahui umum sekadar untuk menjaja idea semata-mata dan menjadikan debat sebagai landasan.
“Mereka ini (pembangkang) kalau hendak timbul sentimen (melalui debat) bolehlah.. tetapi saya yakin dan percaya rakyat hari ini mampu menilai sendiri apabila berbahas dalam dewan isu yang dibawa mereka iaitu kemiskinan, sedangkan perkara itu telah berjaya diatasi di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sinar Harian 9 Julai lalu melaporkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu mencadangkan agar satu debat terbuka diadakan antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang bagi menjawab pelbagai isu.
Menawarkan Amanah sebagai orang tengah, Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, debat atau dialog tersebut wajar diadakan sebagai ruang kerajaan dan pihak pembangkang memberi penjelasan kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment