Wednesday, July 25, 2012

Akademi Sepak Takraw Terengganu Adakan Perlawanan Persahabatan di Vietnam

Akademi Sepaktakraw Terengganu (Pasta) akan mengadakan perlawanan persahabatan di Vietnam selama seminggu mulai 18 Okt ini.

Pengerusi Pasta, Dr Mohamad Omar berkata, lawatan itu adalah sebagai penghargaan kepada Pasta yang menjadi naib juara Kejohanan Sepak Takraw bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan baru-baru ini.

"Pasta telah mendapat undangan daripada Persatuan Sepaktakraw Vietnam untuk melawat negara itu dan bermain dengan mereka selama seminggu di sana.

"Kita akan ke sana pada tarikh berkenaan iaitu selepas pemain-pemain kita menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana kebanyakan pemain kita berumur 15 tahun," katanya ketika di Kuala Terengganu, semalam.

Dr Mohamad berkata, Pasta yang berpusat di Sekolah Menengah Padang Midin di sini juga akan mengadakan jalinan kerjasama dengan sekolah-sekolah sukan sepak takraw di negara itu kerana mereka juga mempunyai projek sukan sepak takraw sendiri.

Katanya, dengan wujudnya hubungan dua hala itu, mereka boleh bertukar-tukar pengalaman serta maklumat bagi meningkatkan permainan masing-masing.- Bernama

No comments:

Post a Comment