Raja Kamarul (kiri) berkata sesuatu kepada Pengerusi Perantau, Shuhaimi Embong selepas sidang media semalam. |
Menawarkan Amanah sebagai orang tengah, Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, debat atau dialog tersebut wajar diadakan sebagai ruang kerajaan dan pihak pembangkang memberi penjelasan kepada rakyat.
Menurutnya, kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Mohd Abdul Wahid Endut perlu mengambil peluang debat itu menjawab isu yang kini menjadi bualan rakyat Terengganu di segenap tempat terutama kedai kopi.
“Saya banyak menerima soalan mengenai isu yang perlu penjelasan daripada pihak kerajaan dan pembangkang.
Antaranya penarikan saman royalti minyak, bumbung stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh yang belum dibaiki.
“Semua isu ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat dan oleh itu, Amanah bersedia menjadi orang tengah bagi merealisasikan debat ini,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Permai Inn, di Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, Amanah berharap debat antara Kerajaan Negeri dan pembangkang akan menjadi realiti, jika berjaya ia menjadi perintis di peringkat negeri selepas kejayaan debat melibatkan pemimpin pusat seperti Khairi Jamaluddin dan Rafizi Ramli.
Sehubungan itu, kata Raja Kamarul Bahrin Shah, pihaknya akan menghantar satu surat jemputan rasmi kepada Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Mohd Abdul Wahid selaku Pesuruhjaya Pas negeri dalam masa terdekat.
“Bagi menunjukkan kematangan parti politik tempatan, amat wajar rakyat diberi peluang mendengar hujah wakil rakyat mereka yang akan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
“Debat ini juga memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak menjelaskan hala tuju parti masing-masing selain membentangkan manifesto mereka sambil membahaskan isu semasa lain,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment