Wednesday, July 25, 2012

Azizulhasni - 'Saya Okey', Tumpu Sukan Olimpik


Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang memberi kelegaan apabila menegaskan kecederaan yang dialaminya di Koln, Jerman kelmarin tidak menjejaskan hasratnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik London.

Dalam akaun laman sosial, Twitter Azizulhasni berkata, dia tidak apa-apa walaupun cedera pada tangan, paha dan bahu kanan akibat terjatuh dan tercucuk serpihan trek ketika menyertai perlumbaan kelmarin.

Azizulhasni yang mendapat jolokan The Pocketrocketman menegaskan tumpuannya adalah pada Sukan Olimpik yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.


 "Terima kasih di atas ucapan selamat berjuang dan semoga cepat sembuh daripada peminat. Kebimbangan saya sekarang bukanlah kecederaan, tetapi Sukan Olimpik," katanya.

Kelmarin, iaitu tiga hari menjelang perasmian Sukan Olimpik 2012 London, kem basikal trek negara dikejutkan dengan kemalangan di atas trek yang dialami oleh jaguh keirin, Azizulhasni Awang di Koln, Jerman semalam.

Azizulhasni, antara prospek pingat pada Sukan Olimpik kali ini melalui detik cemas mengalami kemalangan yang hampir serupa ketika kaki kirinya tertusuk serpihan trek di Manchester Februari 2011.

Namun ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley pantas menjelaskan kecederaan semalam tidak seteruk tahun lalu. Akibat kemalangan tersebut, pelumba yang mendapat jolokan The Pocketrocketman itu cedera paha, lengan dan bahu kanan.

Selain calar, beberapa serpihan kecil trek tercucuk di bahagian yang cedera, setelah dia terjatuh ketika menyertai pra perlumbaan acara pecut.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kecederaan Azizulhasni, Beasley berkata, secara amnya, tiada apa yang harus dibimbangkan mengenai anak didiknya itu.

"Kulitnya terkoyak pada bahagian kecederaan lazim yang dialami pelumba iaitu pada lengan, bahu dan paha," kata Beasley dalam kenyataan di akaun laman sosial Facebook semalam.

Pada Februari 2011, Azizulhasni melalui detik hitam apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tercucuk menembusi bahagian betis kaki kirinya, apabila dia terjatuh dalam saingan akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik Manchester.

"Tidak ada apa yang merisaukan dan dalam beberapa hari sahaja lagi dia bersedia untuk beraksi. "Prestasinya sangat baik dan sekarang ini dia cuba untuk kembali sembuh seperti biasa. Saya akan menulis laporan di lapangan terbang esok (hari ini) sebelum berlepas ke London.

"Kita dapat lihat bagaimana kenyataan Azizulhasni dalam video, keadaannya tidak membimbangkan. "Malah dia meraih tempat keenam acara pecut hari ini (semalam) selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama," katanya.

Selain gambar yang memaparkan kecederaan, pengendali dari Australia itu turut memuat turun video yang menyaksikan Azizulhasni memegang serpihan trek yang panjangnya hampir 10 sentimeter dan beberapa lagi serpihan kecil yang turut tertusuk di bahagian kiri badannya.

"Saya adalah seorang pengumpul serpihan trek, tidak akan ada lagi kemalangan selepas ini," jelas Azizulhasni dalam nada berseloroh dalam video tersebut sambil memegang serpihan trek yang telah dikeluarkan dari bahagian badannya.

Tambah Beasley, dia akan cuba mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz sebaik sahaja tiba di London untuk memaklumkan keadaan Azizulhasni.

Sementara itu Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, tidak ada apa yang perlu dirisaukan tentang kecederaan Azizulhasni. Beliau mengakui terdapat lebih kurang 60 serpihan trek tertusuk pada seluruh bahagian kiri tubuh Azizulhasni akibat kemalangan tersebut.

"Ia cuma kecederaan ringan yang memang biasa dialami oleh pelumba trek. Saya sudah berjumpa dengannya sebaik sahaja tiba di London semalam (kelmarin), hari ini (semalam) semua pelumba trek termasuk Azizulhasni berehat.

"Esok (hari ini) Azizulhasni akan kembali berlatihan bersama Josiah Ng dan Fatehah Mustapa di Velopark London iaitu velodrom rasmi untuk acara trek Olimpik London," katanya ketika dihubungi semalam.

Atlet berbasikal negara bersemangat tinggi sebaik sahaja tiba di London semalam dengan Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Zamri Salleh telah meninjau laluan untuk acara lebuh raya yang berlangsung Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment