Thursday, July 5, 2012

Bapa Saiful Rayu Pejabat Peguam Negara Fail Petisyen


Bapa kepada Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim, 58, pada Rabu merayu pihak Peguam Negara supaya mengemukakan petisyen rayuan terbaik demi keadilan anaknya.

Selain itu Azlan turut berharap agar petisyen rayuan itu sempat difailkan oleh barisan pendakwaan dalam masa kurang sepuluh hari lagi sebelum tempohnya berakhir.

"Apa yang penting adalah agar Peguam Negara mengambil pertimbangan yang sewajarnya dalam memfailkan petisyen rayuan tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan, yang kini saya percaya tinggal kurang daripada sepuluh hari sahaja lagi.


"Saya dan keluarga amat yakin dengan kepakaran pihak Peguam Negara dan barisan pendakwaan dalam mengenal pasti alasan-alasan bagi menyediakan satu petisyen rayuan yang terbaik," katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengeluarkan alasan penuh penghakiman kes liwat membabitkan anaknya dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Alasan

Penghakiman tersebut dikeluarkan enam bulan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful yang juga bekas pembantu peribadinya.

Pihak pendakwaan mempunyai masa selama sepuluh hari selepas menerima alasan penuh penghakiman kes itu.

Mengulas lanjut Azlan berkata, pihaknya percaya hak anaknya sebagai seorang warganegara untuk melalui proses rayuan tidak akan dinafikan.

"Saya juga percaya bahawa hak untuk anak saya diadili sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi tidak akan diabaikan dan tidak dinafikan oleh pihak Peguam Negara," katanya

No comments:

Post a Comment