Tuesday, July 17, 2012

Cuti Ahad 22 Julai, Penghargaan Kepada Rakyat Menyokong Terengganu Juara Sukma Ke-15


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.

Beliau juga berkata, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang.

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada kejayaan kontinjen Sukma negeri, saya isytiharkan Ahad ini sebagai cuti umum di Terengganu," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan itu di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, pagi ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat turut memeriahkan majlis sambutan itu yang turut menyaksikan para atlit dan pegawai skuad Hanelang diarak di sekitar daerah itu bermula dari sempadan Terengganu-Pahang.

Bercakap selepas majlis penutup Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang malam semalam, Ahmad Said berkata pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sehingga empat kali berturut-turut muncul juara keseluruhan temasya itu.

Menteri Besar  berkata atlet negeri itu yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi.

"Syukur kerana Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat walaupun pada awalnya sedikit terkilan kerana acara kanu tidak dipertandingkan.

"Malah, ada atlet kita yang tidak dapat bertanding kerana layak ke Olimpik,” katanya.

Ahmad Said bangga dengan kontinjen Terengganu kerana berjaya merangkul 62 pingat emas iaitu melepasi sasaran 47 emas sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha kerajaan Terengganu mendapat khidmat jurulatih berkebolehan dari luar negara seperti sepak takraw yang mana kita mendapatkan khidmat jurulatih dari Thailand,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment